Friday, July 8, 2011

AWAS MENYEKSA BINATANG MENEMPAH NERAKA!

Share
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)



Penganiayaan atau penyeksaan terhadap binatang itu adalah satu kezaliman. Islam MELARANG KERAS kepada umatnya melakukan sebarang bentuk kezaliman baik sesama manusia mahupun terhadap binatang.


Hatta ketika menyembelih pun, binatang itu hendaklah diperlakukan dengan penuh ihsan. Sebagaimana yang disyariatkan hendaklah menggunakan pisau yang tajam serta MAKRUH mengasah pisau di hadapan binatang yang akan disembelih dan menyembelih binatang lain di hadapannya.


Perbuatan menyeksa atau menganiaya binatang adalah jelas haramnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah mengkategorikan menyeksa binatang itu termasuk dalam DOSA-DOSA besar. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.”

(Hadits riwayat Ahmad)




Antara bentuk-bentuk penyeksaan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap binatang ialah:

1. Melagakan binatang

Melagakan atau menyabung binatang mendedahkannya kepada bahaya, kesakitan bahkan boleh mengakibatkan kematian.

Perbuatan ini adalah dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Larangan tersebut dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang melaga binatang.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)


 2. Memukul dan menyelar muka binatang

Muka adalah bahagian anggota badan yang lembut. Memukul dan menyelar pada bahagian muka adalah antara bentuk penyeksaan terhadap binatang. Menyelar muka binatang bagi tujuan meletakkan tanda pengenalan binatang ialah menggunakan besi panas yang telah dibakar. Perbuatan demikian sudah tentu mendatangkan kesakitan yang amat sangat, lebih-lebih lagi pada bahagian muka. Dari itu perbuatan ini adalah dilarang.

Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya:


“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang memukul dan menyelar muka.”

(Hadits riwayat Muslim)

Muka binatang juga termasuk di dalam larangan ini. Allah Subhanahu wa Ta‘ala melaknat mereka yang menyelar muka binatang. Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
Jabir Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadits mengenai perkara ini, katanya:

Maksudnya:

“Bahawasanya telah melintas di hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seekor keldai yang telah diselar pada bahagian mukanya. Maka Baginda bersabda: “Allah melaknat orang yang menyelar (pada bahagian muka) keldai”.

(Hadits riwayat Muslim)

Adapun menyelar binatang bukan pada bahagian muka seperti badan binatang itu maka tidaklah diharamkan bahkan harus hukumnya.


3. Memisahkan anak daripada ibunya

Perbuatan memisahkan anak binatang yang masih kecil daripada ibunya boleh mendatangkan kesusahan kepada anak binatang tersebut. Ini kerana ia masih perlukan penjagaan dan perlindungan daripada ibunya, sama seperti kita manusia. Oleh sebab itulah perbuatan ini dilarang oleh syara‘.

Hal ini pernah diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn Mas’ud Radhiallahu ‘anhu mengenai anak burung yang dipisahkan daripada indungnya, beliau berkata:

Maksudnya:

“Adalah kami (kata ayahanda Abdullah) bersama- sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengkebas-kebas kepaknya. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun datang dengan bersabda: “Siapa yang menyakiti (menyusahkan) anak-anak burung ini dengan (memisahkan) dari ibunya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya …”

(Hadits riwayat Abu Daud)


4. Mengurung sehingga mati kelaparan

Mengurung binatang tanpa memberinya makanan sehingga dibiarkan mati kelaparan adalah dilarang dan ia boleh menyebabkan seseorang itu masuk neraka, sebagaimana diceritakan dalam suatu peristiwa:

Ertinya:

“Diseksa seorang perempuan (kerana) seekor kucing yang telah dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dengan sebab itu masuklah perempuan itu dalam api nereka.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)


5. Membakar binatang

Membunuh binatang dengan cara membakarnya sama ada yang boleh dimakan atau tidak adalah dilarang dan berdosa besar. ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya:

“Dan Baginda melihat sarang semut yang telah kami bakar. Maka Baginda bersabda: “Siapa membakar ini?” Kami menjawab: “Kami.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya
tidak seharusnya diazab dengan api melainkan oleh Tuhan Pemilik api itu (iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala).”

(Hadits riwayat Abu Daud)


6. Membunuh untuk dipersia-sia

Membunuh binatang dengan tujuan mensia-siakannya dan bukannya untuk dimanfaatkannya adalah satu penganiayaan. Asy- Syarid Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadits mengenai hal ini dengan berkata:

Maksudnya:

“Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membunuh burung untuk dipersia-sia, ia (burung) mengadu (dengan suara yang kuat) kepada Allah ‘azza wa jalla di hari akhirat, dengan katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguh si polan telah membunuhku untuk dipersia-sia dan dia tidak membunuhku untuk tujuan dimanfaatkan.”

(Hadits riwayat an-Nasa’ie)


7. Menjadikan sebagai sasaran

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat mereka yang menjadikan binatang sebagai sasaran sama ada dengan melontarnya, memanahnya, menembaknya, melastiknya atau
sebagainya. Perkara ini disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘id bin Jubair di mana Ibnu ‘Umar pernah menegur budak-budak yang melontar burung yang dijadikan sebagai sasaran dengan berkata:

Maksudnya:

“Siapa melakukan ini, Allah melaknat siapa yang melakukan ini. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran.”

(Hadits riwayat Muslim)


Sesungguhnya sifat belas kasihan dan rahmat itu adalah antara beberapa tuntutan dalam agama Islam. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:

“Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan, mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah kamu bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit.

(Hadis riwayat Abu Daud)


Sesiapa yang melakukan belas kasihan atau berlaku rahmat, sekalipun kepada binatang bukan saja Allah menerima amalnya itu, bahkan Allah akan mengampuni dosanya sebagaimana hal ini disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu peristiwa:

Maksudnya:

“Ada seorang laki-laki sedang berjalan, merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum dari telaga itu, kemudian dia keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing terjulur-julur lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Orang itu berkata demi sesungguhnya telah sampai keadaannya seperti keadaan-ku, lalu dia (turun untuk) mengisi sepatunya (dengan ayer), dan dipegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik ke atas dan memberi minum anjing itu. Maka Allah Ta'ala menerima dan memuji di atas budinya dan ihsannya itu dengan mengampunkan dosa-dosanya. Lalu sahabat-sahabat yang ada di situ bertanya: “Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang? Baginda bersabda: “Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu (yang bernyawa) diberi pahala.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)


Oleh itu, janganlah menganiaya, menyeksa dan menzalimi binatang atau tidak ada belas kasihan terhadapnya. Melakukan penganiayaan, penyeksaan dan kezaliman terhadap binatang bukan hanya menjauhkan kita daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahkan boleh mengundang azab di akhirat kelak.







*****


Dalam artikel ini ada disentuh mengenai mengembirikan haiwan yang tidak saya masukkan sekali. Ia mengatakan pengembirian haiwan hanya boleh dilakukan terhadap haiwan yang halal dimakan semasa kecil atas tujuan ingin menggemukkan bagi mendapatkan daging yang lebih enak. Namun bergitu kita telah sedia maklum bahawa JAKIM telah menyatakan HARUS hukumnya untuk menjaga maslahat ummah.


"Bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah."- JAKIM Julai 2002


Hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majjah:


أن النبي صلى الله عليه وسلم ضحى بكبشين عظيمين موجوءين


Maksudnya: “Bahawa Nabi S.A.W. pernah mengorbankan dua ekor kibas yang besar dan yang dikasikan.” (Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)


Tapi, cara pengembirian mestilah tak bagi mudaratkan haiwan tu.


Menurut al-Syeikh al-Uthaimin pula,

إذا كانت القطط كثيرة مؤذية ، وكانت العمليَّة لا تؤذيها : فلا حرج ؛ لأن هذا أولى من قتلها بعد خلقها .. وأما إذا كانت قططاً معتادة ولا تؤذي : فلعلَّ في بقائها تتنامى خيراً


Maksudnya: “Jika kucing itu banyak (jumlahnya) dan menyusahkan, dan proses mengkasinya tidak memudharatkannya, tidak mengapa, kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik dari membunuhnya selepas ia Allah menciptakannya.. adapun jika jumlah kucing itu tidak banyak (jumlah yang biasa) dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan dia berkembang (membiak) itu adalah lebih baik.” (Fatawa Islamiyah 4/448).



Perbuatan menaniaya haiwan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh, telah dinyatakan ia termasuk dalam dosa-dosa besar dan dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya. Semoga kita tidak tergolong dalam manusia yang dilaknat dan tidak sewenang-wenangnya kita menempah neraka. Nauzubillah min zalik.

suka?

7comments: