Tuesday, December 6, 2011

Terima kasih di atas doa kalian

Share
bismillahirrahmanirrahim....


Ketika saya menaip entri ini Momon sedang lena tidur di sebelah saya. Tak terucap kegembiraan saya melihat Momon masih ada di depan mata. Syukur alhamdulillah...


Pada malam saya sedar kehilangan Momon tu hati saya mula rasa tak sedap pabila saya memanggil Momon berkali-kali untuk masuk tidur tetapi Momon tetap tak muncul. Saya cuba berfikiran positif untuk sedapkan hati.


Keesokkan paginya ketika saya memberi anak-anak saya makan Momon tetap tak muncul. Rehat tengahari saya pulang kelibat Momon masih tak kelihatan. Hati saya dah mula resah. Saya berdoa agar petang nanti ketika pulang dari pejabat Momon dah sedia menanti saya seperti biasa tetapi hampa.


Pada ketika itu tanpa dipaksa-paksa air mata saya jatuh berderai. Di mana-mana saya seperti terlihat-lihat kelibat Momon. Dan ketika saya melangkah masuk ke dalam bilik air hati saya remuk bila terpandang tangki air tandas duduk kerana di situ lah Momon suka duduk menunggu saya mandi. Saya menangis semahu-mahunya segala kenangan Momon dari bayi sehingga besar silih berganti dalam fikiran saya. Bergayung-gayung air saya simbah laju ke muka agar hilang kesedihan di hati, saya kuatkan diri mengambil wuduk dan menunaikan solat. Pada sujud terakhir saya memohon supaya Allah lindungi Momon dari segala bencana dan mohon dikembalikan semula Momon pada saya.


Setelah solat saya banyakkan beristighfar dan berzikir untuk mendapatkan kembali kekuatan. Mak cuba bercerita tentang perkara lain untuk mengalihkan fikiran saya kerana saya sedang berpuasa, tak elok jika saya terus menangis.


Selepas solat maghrib saya keluar meninjau-ninjau masih mengharap melihat kelibat Momon pulang. Mata saya kembali berkaca. Saya kembali masuk ke dalam rumah dan duduk menghadap pintu kalau-kalau Momon pulang saya tak mahu terlepas melihatnya. Dalam fikiran saya ketika itu saya sudah berkira-kira ingin membuat poster dengan gambar Momon dan ganjaran jika sesiapa yang menjumpainya.


Dengan tidak disangka-sangka tiba-tiba Momon muncul entah dari mana. Badannya sedikit kotor dan basah. Melompat saya mendapatkan Momon, air mata saya jatuh berjurai-jurai tetapi kali ini air mata gembira. Mak turut menangis sama kami menangis gembira bersama-sama. Terima kasih ya Allah....terima kasih kerana telah memakbulkan doa kami.


Mungkin ada yang menganggapnya sebagai gurauan semata. Saya tak pernah bergurau apabila saya mengatakan yang saya sayangkan mereka..semua kucing-kucing saya. Saya membesarkan dan menjaga mereka. Setiap masa mereka berada di depan mata saya. Waktu sihatnya, waktu sakitnya...mereka sentiasa berada bersama saya. Malah saya berani mengatakan bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada diri saya. Bayangkan bagaimana jika sebahagian drpd diri kita hilang? Bergitulah perasaan saya...akan hancur hati saya jika ada sesuatu yang berlaku pada mereka. Kepada yang tak faham mungkin tak akan faham untuk selama-lamanya. Cuma saya pinta saya janganlah dibuat gurauan perasaan saya ini.


Kepada semua kawan-kawan mukabuku dan kawan-kawan kucing yang turut sama mendoakan agar Momon pulang dengan selamat TERIMA KASIH. Terima kasih yang tidak terhingga di atas doa-doa kalian. Dan terima kasih kerana ADA untuk saya, saya berharap saya juga dapat melakukan perkara yang sama ketika diperlukan nanti. Saya juga mendoakan kesihatan dan keselamatan untuk kalian. Terima kasih kawan-kawan....





suka?

20comments: