Thursday, March 6, 2014

Pergilah sayang...

Share
Mummy redha...mummy relakan Omot pergi. Mummy tahu pasti itu yang terbaik untuk Omot daripada Omot terus menderita sakit.


Setelah Omot disahkan positif parvo (FPV). Hati mummy hancur, sedih, pilu bercampur-baur perasaan seiring dengan titisan air mata yang terus-terusan mengalir. Baik dari sakit mulut, Omot begitu berselera makan. Omot paling suka makan ayam tak kira samada digoreng, direbus atau dimasak berlauk biasanya mummy akan basuh ayam terlebih dahulu sebelum bagi pada Omot. Walaupon dah kenyang Omot tetap berselera makan bila disuakan ayam. Badan Omot juga semakin berisi. Mummy gembira dengan perubahan Omot.


Tapi kegembiraan tu tak kekal lama, bila Omot tiba-tiba murung menjauhkan diri. Mummy beri Omot Vetri DMG dan vitamin C, badan Omot panas. Dua hari Omot masih murung dan langsung tak mahu menjamah makanan walaupon demamnya dah kebah. Hati mummy terdetik ada sesuatu yang tak kena bila Omot langsung tak menunjukkan sebarang perubahan. Mummy bawa Omot berjumpa vet dan apa yang mummy bimbangkan terjadi.  Tak dapat digambarkan perasaan ketika vet memberitahu mummy tentang Omot. Mummy cuba berlagak tenang sedangkan ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan mummy. Sepanjang perjalanan balik dari klinik air mata jatuh tak berhenti.


Sampai rumah mummy buat seperti yang diarahkan vet. Omot perlu diasingkan dari yang lain. Mummy letak Omot dalam cage dan ditempatkan di dalam bilik. Virus parvo amat mudah merebak. Ia mudah berjangkit melalui air liur, air kencing, muntah, pernafasan, udara juga melalui tahi kucing yang berjangkit. Virus parvo ini menyerang sistem pertahanan, sel darah putih terutamanya sistem penghadaman. Ini menyebabkan Omot demam, tak mahu makan, muntah dan cirit-birit.


Selepas mendapat rawatan, vet bagitahu mummy jika Omot mampu bertahan dalam tempoh 6 hari berkemungkinan dia akan selamat. Jadi mummy perlu pastikan Omot makan untuk membantu menguatkannya. Mummy suap Omot A/D, susu kambing, air zamzam dan beri Vetri DMG.  Mummy menggunakan sarung tangan, memakai apron dan menukar baju setiap kali selesai menguruskan Omot. Mummy guna clorox untuk membersihkan bilik, sangkar, litter tray Omot setiap hari pagi dan petang kerana virus parvo ini mampu bertahan dalam jangkahayat yang lama jika tidak dihapuskan.  Paling mummy bimbangkan jika sampai merebak dengan yang lain terutamanya kitten macam Adu yang berisiko tinggi. Maka mummy perlu pastikan persekitaran Omot dibersihkan sekerap yang mungkin.


Perhatian memang sentiasa tertumpu pada Omot. Dari celik mata hingga nak tutup mata semula perhatian mummy sentiasa pada Omot. Mummy suap Omot makan, mummy beri Omot minum, mummy bersihkan Omot dan kawasan persekitaran sekerap mungkin. Mummy banyak habiskan masa temankan Omot dalam bilik. Mummy sentiasa bercakap dengan Omot. Perkara yang sering mummy katakan pada Omot...


"andai kamu tak mampu bertahan kamu pergilah mummy redha tapi jika Omot mampu bertahan mummy akan sentiasa ada bersama Omot, mummy akan tolong Omot sampai Omot sembuh. Apa pon pilihan Omot mummy redha, mummy akan sentiasa ada dengan Omot.."


Air mata menjadi peneman setia ketika mummy meneman Omot. Pilu hati mummy melihat anak sedang kesakitan bergitu. Mummy berdoa, mummy mohon pertolongan dari Yang Maha Kuasa. Mummy berdoa agar diberi yang terbaik untuk Omot. Andai panjang umur sembuhkan lah segera, andai sudah sampai masa ambillah segera nyawanya agar dia tak menderita sakit terlalu lama.


Hari kelima, bila mummy nak suapkan Omot makan pagi tu. Mummy lihat hidung Omot putih pucat, telinganya sejuk. Pandangan mata Omot membuat hati ini pilu, air mata gugur lagi. Terdetik dalam hati masa Omot hampir tiba. Mummy tenangkan perasaan, mummy suap Omot air zamzam, nampak susah Omot nak telan. Mummy tanak paksa lagi. Mummy cakap pada Omot, "pergi lah sayang...pergilah...mummy sayang Omot, mummy sayang..."


Mummy tinggalkan Omot dengan berat hati pagi tu sebelum ke pejabat. Sepanjang di pejabat hati mummy tak tenteram, mummy sentiasa teringatkan Omot. Tak sabar nak tunggu tengahari mummy nak jumpa Omot. Tengahari tu sebelum balik jumpa mak, mak kata malam tadi mak bermimpi Omot  pergi. Laju kaki melangkah mendapatkan Omot. Bila mummy bukak pintu mummy  nampak sekujur tubuh Omot sedang berbaring seperti sedang lena tidur. Tenang...tanpa pergerakkan. Omot dah pergi, Omot dah tak sakit lagi. Innalillah....






OMOT
26/11/2011 - 05/03/2014


suka?

3comments: