Sunday, September 10, 2017

TOLONG.. TOLONG KEMBIRI/ KASI/ MANDULKAN HAIWAN PELIHARAAN ANDA

Mummy nak cerita tentang satu situasi yang berlaku pada salah seorang kenalan baik mummy. Mummy namakan sebagai Si A. Beliau sudah berumahtangga dengan tiga orang cahaya mata. Bekerjaya dengan jawatan besar. Si A adalah seorang pencinta kucing. Di rumahnya ada lebih kurang tiga puluh ekor kucing yang kesemuanya diletakkan di dalam sangkar besar.


Kami jarang bertemu tapi sesekali berjumpa kami akan berkongsi dan bertukar-tukar cerita mengenai kisah kucing masing-masing. Walaupun begitu satu-satunya perkara yang mummy kurang setuju dengan Si A adalah beliau ni tidak mengkasikan kucing-kucing peliharaannya. Bila mummy tanya kenapa, si A akan kata kesian sakit atau kesian haiwan pon ada nafsu. Mummy jelaskan pada Si A, proses mengkasikan kucing bukan sesuatu yang kejam. Proses pengkasian hanya melibatkan pembedahan kecil pd perut kucing betina, dan bagi kucing jantan pula hanya belahan kecil dibuat untuk membuang kedua-dua testikal sahaja. Dan lagi ia dilakukan pada kucing dalam keadaan tidak sedar, makanya kucing tidak akan merasa sakit. Dan kita kena ingat bahawa haiwan ni tidak berakal makanya haiwan tiada nafsu. Haiwan hanya mengawan kerana hormon, sebab tu haiwan mengawan ni ada musim bukan sepanjang masa atau mengikut kehendak nafsu sebab haiwan TIADA nafsu tidak seperti manusia.


Menurut fatwa yang dikeluarkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2002 berkaitan pemandulan dan pengembirian kucing dan anjing, hukumnya adalah DIHARUSKAN dengan sebab-sebab tertentu demi menjaga kemaslahatan ummah seperti faktor kesihatan dan menjaga kebajikan haiwan tersebut dan masyarakat.




Berdasarkan hujah anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Al-Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin yang bermaksud: “Adapun mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahat bagaimanapun, mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.” (Liqa al-Bab al-Maftuh 15/37)

Beliau juga menyentuh tentang pengkasian kucing yang bermaksud: “Jika kucing itu banyak dan menyusahkan manakala proses mengkasi tidak memudaratkan, ia tidak mengapa kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik daripada membunuh haiwan itu selepas ia diciptakan oleh Allah, adapun jika jumlah kucing itu tidak banyak dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan ia berkembang adalah lebih baik.” (Fatwa Islamiyah 4/448).


Selain untuk mengawal pembiakkan dan mengelakkan populasi yang tidak terkawal pengkasian kucing juga mempunyai pelbagai kebaikan atau kelebihan pada kesihatan kucing itu sendiri. Quality over quantity, kita tidak akan mampu nak menjaga kesemua haiwan peliharaan kite setelah mereka beranak-pinak nanti. PERCAYALAH





Tapi apa pon yang mummy sampaikan pada Si A bagai mencurah air di daun keladi, umpama angin lalu. Satu-satunya jawapan yang keluar dari mulut Si A adalah KESIAN. Walaupon kami berkawan baik, mummy gagal untuk menimbulkan kesedaran pada Si A. Itulah yang mummy kesalkan sebab Si A bukannya tak mampu untuk mengkasikan kucing-kucingnya tetapi dia tak mahu 😔


Baru-baru ini Si A menefon mummy, dalam keadaan sedih beliau bercerita pada mummy bahawa suaminya jatuh sakit, sakit yang agak kronik maka suaminya tidak lagi boleh bekerja. Dan sekarang segala urusan dari hal rumahtangga, hal anak-anak dan juga kucing peliharaannya terpaksa dilakukan sendiri. Dua anaknya masih bersekolah rendah dan seorang masih kecil disamping menjaga suami yang sakit, mummy dapat bayangkan keadaan Si A. Air mata mummy tumpah bila Si A mengatakan dia tak mampu lagi nak menjaga kucing-kucingnya. Si A bertanya pada mummy apa yang harus dilakukan pada kesemua kucing-kucingnya. Si A kata yang beliau amat sayang pada kucing-kucingnya tapi keadaan amat mendesak untuk beliau melepaskan semua kucing-kucingnya. Mummy?? Mummy dilanda kemurungan, murung sangat sangat. Mummy simpati dengan apa yang berlaku, dalam masa yang sama tak banyak yang mummy dapat bantu 😢


Dengan situasi macam ni, mummy suka nak pesan dengan kawan-kawan kucing sekalian...janganlah bertangguh untuk mengkasikan/kembirikan haiwan peliharaan masing-masing. Dan berpada-pada lah dalam membela haiwan peliharaan, kena keraskan hati ukurkan dengan kemampuan diri kita sendiri dan lagi kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Tolong jangan salah faham dengan mummy,  kos penjagaan dan rawatan kucing amat tinggi ada masanya ia mencapai tahap di luar kemampuan kita dan ketika itu tiada sesiapa yang boleh membantu kita.


Bila terlalu banyak kucing dalam jagaan sehingga membebankan akan berlaku pengabaian. Bela banyak-banyak tapi keadaan kesihatan kucing tak terjaga, bila kucing sakit kita tak mampu nak bawa ke klinik, tak mampu nak dapatkan rawatan, jalan terakhir bila keadaan mendesak terpaksa buang kucing tu kat pasar, kat kedai makan, dah menyusahkan dan jadi masalah orang lain pula. Daripada nak kumpul pahala dapat dosa pula. Maksud mummy di sini,  jangan lah sampai ia menjadi beban sehingga menjejaskan kualiti hidup bukan sahaja pada haiwan peliharaan kita tapi pada diri kita sendiri. Mummy yakin dan pasti kita semua nak berikan yang terbaik utk haiwan peliharaan masing-masing.


Mummy sendiri pada suatu masa dulu pernah menjaga hampir tiga puluh ekor kucing dalam satu-satu masa. Banyak yang perlu dikorbankan, masa, tenaga, wang ringgit untuk menyediakan makanan yang terbaik, tempat tinggal yang bersih dan selesa dan rawatan ketika mereka sakit. Pernah dalam satu masa beberapa ekor kucing jatuh sakit serentak, nak biarkan memang tak sampai hati. Mummy jenis tak pandai nak meminta-minta, sedaya upaya mummy nak cuba usaha sendiri. Terpaksa keluarkan tabung simpanan, terpaksa gesek kad kredit. Berhutang untuk mendapatkan rawatan untuk kucing kesayangan, orang yang tak paham mungkin akan kata kite gila...tapi itulah realitinya. Tapi Allah tu Maha Adil, mungkin niat kita cuma nak bantu seekor kucing tapi Allah permudahkan, Alhamdulillah ada saja rezeki, sihat tubuh badan tu pon rezeki yang Allah bagi, dapat kerja dapat cari duit dan dapat bayar balik hutang-piutang sampai selesai. Alhamdulillah... Mummy yakin ramai antara rakan-rakan kucing mummy juga pernah mengalami situasi yang sama seperti ini, moga kita sentiasa diberi ketabahan dan kemudahan dalam menghadapi dugaan-dugaan seperti ini, aamiin...


Tu yang bila ada orang kata bela kucing tu senang, mummy cuma tersenyum pahit sebab susah-payah semua tu kite tak cerita kat orang. Hanya orang-orang yang merasa jer tahu perasaannya, tahu susah-payahnya, tahu pengorbanan yang terpaksa kita lakukan. Sebab tu juga penting untuk kita tahu kemampuan kita. Kita nak sediakan kehidupan yang selesa dan memberi yang terbaik untuk haiwan peliharaan kita dan diri kita sendiri. Tuan kucing yang happy akan melahirkan haiwan peliharaannya yang happy eh! HEHE.. Dan begitulah disebaliknya, Wallahu A'lam...



1 comment:

Mama Nur said...

setuju sangat. dulu saya pun tak mahu kasi kucing. konon kesin. tapi bila beranak pinah sampai 20 ekor, rasa tak terbela. nasib baik ada kawan yang sanggup ambil dan bela. lepas tu ada yang mati sebab sakit dan hilang sebab x terjaga. sekarang ada 2 ekor aje kat rumah dan mudah dijaga. kaedah kasi tu memang sebaiknya lah